Friday 21 September 2012

KSC Bangsarianz Naib Johan Revive-Sports Planet Ultimate Champions League


Pada 15 September 2012 (Sabtu) yang lalu, telah berlangsungnya Pusingan Akhir bagi Kejohanan Futsal Revive Sports Planet Ultimate Champions League di Sports Planet Ampang. Kejohanan ini berakhir dengan jayanya apabila 18 pasukan dari pusingan awal di seluruh Malaysia dan 6 pasukan dari Singapura telah bertanding untuk merebut hadiah utama wang tunai RM7,000.00.


Masing-masing menonjolkan aksi yang penuh bersemangat dan semangat kesukanan yang tinggi di antara pasukan masing-masing. Di peringkat kumpulan lagi, pasukan-pasukan yang berentap telah bersaing sengit untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Namun begitu, hanya 4 pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir. Perlawanan separuh akhir pertama adalah diantara pasukan Cha Cha menentang Playground yang berpihak kepada Cha Cha dengan jaringan (4-1). Bagi perlawanan separuh akhir yang kedua pula, pasukan yang berentap adalah MBC 'A' menentang BB FC yang dimenangi oleh pasukan MBC 'A' dengan jaringan (5-0). Bagi perlawanan penentuan untuk tempat ketiga dan keempat, pasukan BB FC telah menewaskan Playground dengan jaringan (3-2).

Aksi perlawanan akhir, menonjolkan kedua-dua pasukan iaitu pasukan Cha Cha dan MBC 'A' telah berentap habis-habisan untuk merebut gelaran juara. Namun akhirnya, keputusan berpihak kepada pasukan Cha Cha setelah menewaskan MBC 'A' dengan jaringan (1-0).

Juara telah membawa pulang wang tunai sejumlah RM7,000 berserta Piala Pusingan, Pingat, T-shirt dan Minuman Revive Isotonik. Manakala naib juara, tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000, RM2,000 dan RM1,000 berserta Pingat, T-shirt dan Minuman Revive Isotonik.
Pemain dari pasukan Cha Cha iaitu Jamaludin Alias telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala pemain dari pasukan MBC 'A' iaitu Zulkifli telah mendapat gelaran Penjaga Gol Terbaik. Mereka berdua masing-masing telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 beserta trofi.


Barisan pemain perlawanan akhir bawah 17

Kejohanan Futsal Revive Sports Planet Ultimate Champions League-Pusingan Akhir ini juga telah memuatkan Kategori Lelaki Bawah 17 Tahun. Sejumlah 24 pasukan telah mendaftar bagi kategori Bawah 17 Tahun ini, antaranya ialah pasukan MBC Junior, KSC Bangsarianz, TOT FC 'A' dan TOT FC 'B', Court Soccer, Street Soccer, Zitos Fc, MBC Junior dan ramai lagi. Semua pasukan yang bertanding telah menunjukkan kualiti permainan yang memberansangkan. 4 pasukan telah berjaya ke pusingan separuh akhir.

Perlawanan separuh akhir yang pertama, membuktikan pasukan KSC Bangsarianz mantap apabila menewaskan pasukan Court Soccer dengan kemenangan sepakan penalti (3-2) setelah terikat (0-0). Di perlawanan separuh akhir yang kedua pula, pasukan Zitos FC telah menewaskan MBC Junior dengan jaringan (2-0). Secara automatik, pasukan Court Soccer dan MBC Junior telah berentap bagi merebut tempat ketiga dan keempat dan keputusan perlawanan berpihak kepada Court Soccer (3-2) dalam sepakan penalti setelah seri (0-0) dalam masa penuh.

Perlawanan akhir menyaksikan saingan hebat antara pasukan Zitos FC dan KSC Bangsarianz yang telah berkesudahan Zitos Fc menewaskan KSC Bangsarianz dengan jaringan (1-0).

Juara bagi kategori bawah 17 tahun telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta Piala, Pingat, T-shirt dan Minuman Revive Isotonik. Manakala bagi naib juara, tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM700, RM400 dan RM200 beserta Pingat, T-shirt dan Minuman Revive Isotonik.

Mohd Firdaus penjaga gol terbaik

Pemain dari pasukan Zitos FC iaitu adik Aliff Haikal telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala pemain dari pasukan KSC Bangsarianz iaitu adik Mohd Firdaus telah mendapat gelaran Penjaga Gol Terbaik. Mereka berdua masing-masing telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM150 beserta trofi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan-pasukan yang berjaya. Bagi pasukan-pasukan yang kurang bernasib baik pada tahun ini, jangan berputus asa dan teruskan semangat bermain futsal dengan menyertai kami di kejohanan-kejohanan yang akan datang!!!

Sports Planet

No comments:

Post a Comment