Monday 6 January 2014

HARIAN METRO: Kartallar SC menang bergaya

"Kami tewas tipis 0-1 dan gagal melangkah ke separuh akhir untuk mengintai kejuaraan, namun kali ini kami berjaya menewaskan mereka di final." - Aizat Yahya
6 Jan: Skuad futsal Kartallar SC dari Sepang Selangor muncul juara Kejohanan Futsal Bawah 17 tahun Sports Planet Puncak Alam (SPPA) selepas mengatasi Arena FM Melaka 2-0 pada aksi final baru-baru ini.

Kemenangan bergaya pasukan itu membolehkan mereka meraih wang tunai, RM1,000 manakala Arena FM, RM700.

Kejohanan anjuran bersama Kick FC itu menyaksikan penyertaan 32 pasukan dengan skuad Semut Merah A dan B juga dari Selangor masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat saingan selepas kedua-dua pasukan itu tewas kepada Kartallar dan Arena FM pada separuh akhir.

Pemain Kartallar SC, Mohd Izzat Yahya berkata, kemenangan ke atas pasukan dari Melaka itu amat membanggakan berikutan pasukannya berjaya membalas dendam atas kekalahan kepada Arena FM di pusingan ketiga Kejohanan Futsal Bawah 18 tahun anjuran Bertam Ulu di Melaka sebelum ini.

“Pada saingan di Klebang itu kami tewas tipis 0-1 dan gagal melangkah ke separuh akhir untuk mengintai kejuaraan, namun kali ini kami berjaya menewaskan mereka di final.

“Apapun saya menganggap semua pasukan yang bertanding memiliki kekuatan seimbang dan hanya nasib serta rezeki memisahkan kemenangan mahupun kekalahan masing-masing,” katanya.

Kejohanan itu juga antara usaha penganjur menyediakan bakat terbaik untuk mengharungi saingan Karnival Futsal Harian Metro.

Oleh Nazri Abu Bakar
LINK

No comments:

Post a Comment