Tuesday 19 August 2014

ACT 2014: Harimau Muda tempah aksi final menentang PVF Vietnam

Haziq Nadzli
Harimau Muda B-16 tahun mara ke perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan 3-0 untuk menyingkirkan penyandang juara, Chonburi FC dengan agregat 6-1.

Skuad bimbingan S.Balachandran turun dengan kelebihan 2 gol yang dibawa dari Janda Baik, namun tentangan sengit yang dijangka dari pasukan juara bertahan itu nyata meleset apabila Chonburi gagal mempamer corak permainan biasa mereka sebaliknya Harimau Muda dilihat lebih dominan dengan menguasai jentera tengah.



Tidak banyak percubaan atau gerakan menarik terhasil di babak pertama dengan Hafiy Haikal bertindak bijak mengikat pergerakan ayam tambatan tuan rumah, Sittichok Paso tatkala gandingan Krithanapong Paedaen, Saharat Sontisawat dan Samart Autharaitsamee gagal menterjemahkan aksi berbisa yang didambakan peminat mereka.

Hanya pada babak kedua menyaksikan aksi yang lebih agresif dari kedua-dua pasukan untuk memecahkan kebuntuan namun ianya Harimau Muda yang berjaya melakukannya pada minit ke-61 apabila Najmuddin Samat melakukan kawalan bola yang cukup baik selepas menerima hantaran Najib Abdullah, dan memperdaya penjaga gol Chakon Philakhlang untuk meledak gol pertama perlawanan.

Gol tersebut nyata menyentap semangat pemain Chonburi Fc dan kurang dua minit kemudian, giliran Mohd Zulkhairi pula menendang masuk hantaran Najib Abdullah untuk gol kedua perlawanan dan meletakkan Harimau Muda pada situasi cukup selesa untuk menempah tiket ke final sebelum Kogileswaran Raj mengesahkan kemenangan bergaya menerusi jaringan pada minit akhir permainan.

Menambah duka pasukan tuan rumah, mereka terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan Arthit Kangsanwet diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua.

Menanti Harimau Muda pada aksi final, PVF Vietnam yang menyingkirkan Frenz United Malaysia dalam satu lagi aksi separuh akhir. Untuk rekod kedua-dua pasukan bertemu dua kali dalam aksi peringkat kumpulan dengan PVF menang 2-1 di Vietnam manakala Harimau Muda menang 3-0 di Janda Baik.

Aksi final akan berlangsung secara dua peringkat pada 25 Ogos di Stadium Frenz Janda Baik dan 31 Ogos di Vietnam.

No comments:

Post a Comment