Wednesday 26 February 2014

HARIAN METRO: Kartallar kilang pemain

PEMAIN Kartallar SC (jersi hitam) cuba menghalang pemain lawan.
26 Feb: Kelab Kartallar SC yang berpangkalan di Segambut boleh dianggap sebagai antara kilang pengeluar pemain remaja berbakat dalam sukan futsal dan bola sepak tempatan.

Pada penampilan Karnival Futsal Harian Metro bagi edisi Lembah Klang di Uptown Sports Bandar Baru Bangi Ahad lalu, pasukan Kartallar SC dinobatkan juara kategori Lelaki Bawah 17.

Pengurus pasukan Gozel Prasat berkata, kehadiran mereka dalam karnival futsal anjuran akhbar nombor satu negara itu bertujuan sebagai pendedahan buat kelabnya.

“Kami hadir dengan matlamat ingin muncul antara tiga pasukan terbaik pertandingan ini.

Tapi anak buah saya melakukan lebih daripada apa yang kami sasarkan dan ini benar-benar menggembirakan.

“Kami menghantar dua wakil, satu bagi kategori Terbuka Wanita dan satu, Lelaki Bawah 17 yang muncul juara.

Ini perkembangan baik buat kelab kami,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Prasat berkata, kelabnya sering merekrut pemain baru bagi mewakili mereka selepas beberapa pemain kelab itu menyertai pasukan profesional selain ada yang mewakili skuad Harimau Muda.

“Ramai pemain remaja dari kelab kami bermain bersama pasukan negara dan kelab.

Antaranya Faiz Mazlan, Daniel Amin dan Mohd Haziq yang kini dipancing kelab Frenz United.

Begitu juga Mohd Haziq Azli yang kini bermain bersama Harimau Muda D di bawah kendalian jurulatih S Balachandran.

“Semua pemain itu menjadi simbol kebanggaan Kartallar SC - kelab kecil seperti kami juga berjaya menyumbang bakat muda buat pasukan negara,” katanya Selaku juara kategori Lelaki Bawah 17, Kartallar SC membawa pulang wang tunai RM2,000 serta pingat dan hadiah iringan.

Oleh Mohd Firdaus Hashim

No comments:

Post a Comment